Sejarah

Evolusi global dan kepentingan pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang komputer dimanfaatkan secara strategik dalam penawaran program UPM pada tahun 1980-an. Antara strategi berkesan bagi mencapai matlamat ini ialah melalui penawaran kursus Diploma dan Bacelor Sains Komputer. Permintaan dan perkembangan pesat kursus-kursus tersebut memerlukan struktur pentadbiran dan akademik yang khusus. Maka menjelang tahun 1992, selaras dengan kemajuan pesat teknologi maklumat, Jabatan Sains Komputer telah ditubuhkan. Sehubungan itu, kursus-kursus telah direka bentuk dan ditawarkan untuk memenuhi permintaan dan keperluan kebanyakan pelajar dengan mencontohi permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa. Ini merangkumi pengajian pasca siswazah dan penyeliaan bagi pelajar yang meneruskan pengajian dalam bidang Master Sains dan Doktor Falsafah.

Dalam tahun 1995, UPM telah bergerak selangkah lagi dalam bidang pembelajaran komputer. Maka, menyedari intipati sebenar pendidikan tanpa sempadan, Diploma dan Bacelor Sains Komputer ditawarkan dengan kerjasama antara UPM dan institusi pendidikan swasta. Ini sejajar dengan perkembangan pembelajaran komputer di UPM yang semakin meluas.

Pada bulan Oktober 1998, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat secara rasminya ditubuhkan bagi memenuhi permintaan program akademik tambahan dan juga selaras dengan perkembangan pesat dalam bidang berkenaan. Penubuhan fakulti juga selari dengan matlamat universiti agar sentiasa seiring dengan perkembangan teknologi maklumat.

Pada masa kini, fakulti ini terdiri daripada empat jabatan iaitu Jabatan Multimedia, Jabatan Sains Komputer, Jabatan Kejuruteraan Perisian dan Sistem Maklumat dan JabatanTeknologi Komunikasi dan Rangkaian..