Berkenaan Latihan Industri

LATIHAN INDUSTRI

Pengenalan

Latihan Industri merupakan salah satu kursus yang ditawarkan kepada pelajar Bacelor Sains Komputer bertujuan untuk memberi pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar serta memupuk kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah, dan ciri profesionalisme.


Latar Belakang

Unit Latihan Industri, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, UPM telah ditubuhkan pada 28 Julai 2009 untuk mengurus pengendalian latihan industri. Unit ini bertanggungjawab menguruskan permohonan penempatan, penerimaan/ penolakan/ pengesahan penempatan, serta menyelaras agihan pensyarah pemantau.


Struktur Organisasi

Unit Latihan Industri diketuai oleh Ketua Unit, dan dibantu oleh 4 Penyelaras Jabatan serta seorang pegawai sokongan.


Kursus  Latihan Industri

Pelajar Bacelor Sains Komputer yang mengikuti latihan industri (out-bound) perlu memenuhi keperluan pra-syarat yang telah ditetapkan oleh jabatan masing-masing dan mengemukakan permohonan ke Unit Latihan Industri. Tempoh latihan industri adalah selama 24 minggu dan antara skop kerja yang diterima sebagai tugasan yang sesuai termasuklah pembangunan sistem, pengaturcaraan, pentadbiran rangkaian, pembangunan laman web dan courseware serta persembahan 3D dan multimedia.

Permohonan pelajar ICT daripada mana-mana institusi pengajian tinggi lain turut dipertimbangkan (in-bound) bagi menjalani latihan industri di fakulti. Sebarang permohonan perlu dikemukakan kepada Unit Latihan Industri, FSKTM. 


Hasil Pembelajaran

» Berfikir secara kritis dalam menyelesaikan masalah dalam persekitaran kerja industri berasaskan komputer.
» Melibatkan diri secara berkesan dalam pasukan pembangunan projek.
» Membina atur cara dalam persekitaran kerja industri.
» Berkomunikasi dengan berkesan dan berpegang teguh kepada profesionalisme dan tanggungjawab etika.
» Membuat keputusan dalam penyelesaian masalah berkaitan etika.